Galeri Saya

Ahad, 7 Februari 2010

Kesultanan Melaka

Silat Seni Gayong dikatakan telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansor Syah. Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Feringgi(Portugis) pada tahun 1511, hulubalang Melaka yang diketuai oleh Tun Biajid yg juga anak Laksamana Hang Tuah telah berundur ke dalam hutan dan seterusnya melakukan serangan gerila terhadap angkatan Portugis. Ilmu Silat Seni Gayong inilah yang telah digunakan oleh Tun Biajid dan orang-orangnya ketika menentang Portugis. Walaupun terpaksa berundur ke dalam hutan, hulubalang-hulubalang Melaka ini masih mampu menyusun suatu barisan penggempur (boleh disamakan dengan gerakan gerila) yang berpegang kepada tekad iaitu "berimau-rimau, berimba-rimba dan bergayong". Disebabkan kedudukan Portugis terlalu kuat ketika itu, Tun Biajid dan orang-orangnya terpaksa berundur hinggalah ke negeri Pahang, untuk mencari perlindungan. Di Pahang, ilmu Silat Seni Gayong ini terus hidup diwarisi oleh generasi demi generasi.

Ada suatu kisah yang menceritakan bahawa pada zaman pemerintahan Portugis di Melaka, telah diadakan majlis keramaian tiap-tiap tahun yang dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat. Pemerintah Portugis telah mengadakan suatu pertandingan seni persembahan budaya masyarakat setempat dan memberikan ganjaran yang besar kepada pemenangnya. Dalam kategori persembahan silat, pesilat yang menunjukkan persembahan yang dianggap membahayakan telah dikumpulkan setempat dan diasingkan daripada pesilat yang mempersembahkan silat pulut yang diiringi oleh bunyi-bunyian seperti gendang. Pesilat-pesilat yang membawakan silat yang berbahaya ini telah ditangkap secara sulit lalu dirantai dan dibawa ke tengah laut dengan perahu untuk dibunuh, kerana pemerintah Portugis bimbang bahawa mereka boleh mengancam kedudukan Portugis di bumi Melaka. Ketika berada di tengah laut, dengan izin Allah dan berkat ilmu Silat Seni Gayong, rantai yang mengikat hulubalang-hulubalang Melaka itu telah berjaya diputuskan, dan hulubalang-hulubalang Melaka ini telah melawan dan berjaya menumpaskan pengawal Portugis yang mengawal mereka.

Oleh kerana bimbangkan keselamatan diri mereka ekoran daripada peristiwa itu, hulubalang Melaka ini telah mengambil keputusan untuk belayar ke merata-rata gugusan kepulauan Melayu untuk mencari perlindungan. Sesetengah daripada hulubalang Melaka ini telah mendarat di Makasar lalu menetap di situ. Di Makasar ini, ilmu Silat Seni Gayong telah berkembang dengan meluas, terutamanya di kalangan bangsawan Bugis. Orang-orang Bugis inilah yang bertanggungjawab menghidupkan semula kesenian lama ini di Tanah Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan