Hendak tinggal di Eropah dengan keadaan cuacanya yang berbeza bukanlah suatu perkara yang mudah. Ramai masyarakat Asia suka melancong ke negara beriklim sejuk dalam percutian singkat. Akan tetapi jika mereka hendak tinggal lebih lama di negara tersebut, mereka perlulah lebih bersedia dari segi fizikal dan mental termasuklah kukuh dari segi ekonomi.
Suhu yang sering bertukar boleh menyebabkan sakit yang boleh membawa kematian. Saya sendiri tidak terkecuali menghadapi situasi begini. Pada suatu ketika saya diserang demam sejuk yang boleh membawa maut jika berlarutan. Kadangkala saya terpaksa tidur di dalam tab mandi air panas selama semalaman. Orang Eropah menggelarkan demam ini sebagai demam asmara kerana pasangan yang diserang demam ini biasanya sentiasa berpelukan erat demi mendapatkan bantuan haba. Walau bagaimanapun, demam ini dianggap serius.
Masih terbayang-bayang dalam ingatan ketika saya diserang demam sejuk ini. Saya tidak berdaya langsung untuk menghadiri kuliah, mahupun ke tempat latihan silat. Ketika itu saya tinggal serumah dengan Oli. Olilah yang membawa saya ke klinik bagi mendapatkan rawatan. Malangnya tidak banyak ubat yang dibekalkan oleh doktor. Cuma saya diingatkan oleh doktor agar jangan kerap mandi.
Orang Eropah jarang mandi pagi terutamanya jika cuaca atau suhu di luar sangat dingin kerana kerap mandi boleh mendatangkan sakit disebabkan perubahan suhu badan yang mendadak. Hal ini tidak bermakna mereka itu pengotor. Malah, dari segi realitinya mereka sangat pembersih. Mereka senantiasa mengambil berat tentang kebersihan diri dan tempat tinggal terutamanya di tandas dan ruang dapur.
Oli dan temannya Cerol bergilir-gilir menjaga saya dan sentiasa memeluk saya jika suhu badan saya didapati turun. Malah, kadangkala kedua-duanya sekali memeluk saya dalam satu selimut sehinggalah semalaman. Alhamdulillah, saya akhirnya pulih seperti sediakala walaupun terpaksa memakan masa yang agak lama.
Budaya
Kata orang jauh perjalanan, luas pemandangan; banyak bergaul luas pandangan. Sejak tinggal di perantauan saya dapat melihat, merasai, menghidu, mengalami sendiri suasana kehidupan di benua Eropah dan berpeluang merasai betapa dinginnya berada pada suhu di bawah paras beku(salji) dan cuaca yang terlalu panas pada musim panas di Eropah dan pertukaran musim, haba dan cuaca yang amat berbeza dengan negara kita.
Keindahan yang Allah jadikan, daripada rupa paras manusia hinggalah kepada bentuk muka bumi yang berbeza-beza di setiap benua, adalah supaya manusia sedar betapa beruntungnya jika manusia ini dijadikan tanpa sempadan dunia. Kita tidak perlu lagi bermusuhan sesama manusia. Keindahan alam ini juga akan dapat dikongsi bersama dan kita tidak perlu bercakaran sesama sendiri untuk merebutkannya, apatah lagi menghancurkannya melalui peperangan.
Budaya ketimuran kita ada baiknya dan begitu juga tidak semua budaya orang asing(Barat) tidak baik. Saya dapat banyak mempelajari tentang budaya dan adat resam orang kulit putih, terutamanya mereka yang tinggal di Eropah. Benua Eropah dihuni pelbagai keturunan manusia, yang menempati hampir 20 buah negara; yang kesemuanya mempunyai kebaikan masing-masing, terutamanya dalam soal kebersihan.
Di Eropah, walaupun saya mengajar Silat Melayu, tidak semestinya saya wajib mengajak dan memaksa semua anak murid saya mengikut cara hidup orang Melayu. Cukuplah sekadar jika mereka dapat bertutur sedikit sebanyak dalam bahasa Melayu. Melalui bahasa Melayu, mereka secara tidak langsung dapat memahami budaya orang Melayu, dan seterusnya mereka akan menghormati kita. Lebih-lebih lagi pada perkataan penting, terutamanya tentang adab antara murid dengan guru kerana di gelanggang saya mengajar mereka menggunakan bahasa Melayu(sama seperti orang Jepun dan Korea bertutur dalam bahasa mereka ketika mengendalikan dojo/dojang mereka). Malah setiap murid saya boleh dikatakan telah dapat menguasai dengan baik istilah persilatan yang saya gunakan, dan secara tidak langsung saya pula mula pandai bertutur dalam bahasa mereka.
Bak kata pepatah, "masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum", barulah kita boleh hidup di mana-mana muka bumi Allah ini, dan budaya kita yang suka merendah diri menyebabkan orang Melayu kita disenangi oleh semua bangsa. Yang baik kita jadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Semasa di Eropah, saya banyak belajar tentang perkara baru terutamanya dalam hal yang bersifat peribadi. Orang kulit putih jarang ingin mengambil tahu soal peribadi orang lain (atau dengan kata lain, suka menjaga tepi kain orang). Malah hendak bertanyakan soalan peribadi pun mereka perlu meminta izin, sehinggakan untuk bertanyakan umur pun mereka meminta izin daripada kita terlebih dahulu. Apatah lagi hendak bertanyakan soalan yang bersifat terlalu peribadi.
Kita berjabat tangan untuk mengenalkan diri, sedangkan mereka akan menyentuh pipi, kiri dan kanan secara sopan bagi mengenalkan diri, dan akan berpelukan seketika sekiranya orang itu kenalan rapat, sama seperti yang dilakukan oleh orang Arab. Perlakuan ini harus dilakukan dengan ikhlas dan jujur kerana mereka boleh merasai secara dalaman dan spontan jika perlakuan itu tidak dilakukan dengan niat ikhlas(misalnya, jika disertai dengan niat ingin mengambil kesempatan).
Soalnya mengapa kita tidak melakukannya dengan ahli keluarga kita sendiri, misalnya dengan isteri dan anak-anak kita, lebih-lebih lagi kedua-dua ibu dan bapa kita, orang yang paling mulia di sisi Allah. Dalam perlakuan ini soal kebersihan diri dan pakaian adalah penting, malah memakai wangi-wangian menjadi agenda utama.
Setelah sekian lama menghuni tanah Eropah, dan mempunyai ramai murid di seluruh Eropah, saya masih boleh mengecam kesemua murid saya walaupun jika mata saya ditutup apabila memeluk atau dipeluk dan saya pula sentiasa memakai bau-bauan minyak atar Arab (untuk mendapat pahala sunnah Nabi). Kemesraan sering terjalin setiap kali kami bertemu. Begitupun mereka tetap menghormati saya sebagai guru atau master mereka.
Digeruni
Untuk menjadi seorang gurulatih yang berjaya terutamanya gurulatih yang boleh melangkah ke taraf antarabangsa, seseorang itu perlu ada ilmu pengetahuan yang luas terutamanya dalam bidang yang diceburi. Perlu ada sifat suka mencari dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan perlu mempunyai sikap yang kreatif, tegas dan terbuka dalam menerima segala bentuk cadangan. Murid banyak belajar daripada guru tetapi ada sesuatu yang ada pada murid yang dapat dipelajari oleh guru. Walau bagaimanapun, guru sebagai model, idola atau contoh yang akan menjadi ikutan murid perlulah mempunyai disiplin yang tinggi terutamanya dari segi perwatakan. Di dalam gelanggang, seseorang guru perlu mempunyai sifat kepemimpinan yang tinggi. Namun begitu, seseorang guru mempunyai cara tersendiri dalam menentukan sikapnya. Terpulanglah kepada proses penerimaan anak murid masing-masing, yang tentunya minda mereka dipengaruhi oleh suasana persekitaran tempat tinggal dan budaya serta adat resam mereka.
Saya sendiri mempunyai sikap suka berjenaka dan bergelak ketawa serta boleh dibawa bergurau apabila di luar gelanggang. Akan tetapi, sebaik sahaja berada di dalam gelanggang, sikap saya bertukar dengan sendirinya menjadi bengis dan garang seperti harimau, yakni sebaik sahaja saya menyarung pakaian silat, sehinggakan saya begitu digeruni oleh anak-anak murid saya. Walaupun kadangkala terdapat perkara yang agak melucukan daripada gelagat murid di dalam gelanggang, misalnya oleh sebab sesuatu pergerakan yang sukar dilakukan oleh mereka atau mereka tidak memahami arahan yang diterima, mereka beramai-ramai secara spontan akan ketawa terbahak-bahak. Tetapi, sebagai guru saya tetap menahan diri agar tidak turut sama ketawa, malah bertindak membeliakkan biji mata sebagai isyarat untuk meredakan keadaan dan memberikan arahan kepada mereka agar segera meneruskan latihan.
Proses ini memakan masa yang lama untuk murid menerimanya dan menjadi lebih mudah jika mereka telah dapat menerimanya. Malah, menjadi kebanggaan kepada mereka pula kerana mempunyai guru yang tegas di gelanggang, sehinggakan ada yang ingin meniru gaya saya apabila saya belum masuk ke gelanggang.
Suatu peristiwa beberapa orang murid wanita tersentak dan menangis apabila saya menengking dan memarahi mereka kerana bergurau di dalam gelanggang yang boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain. Yang selalu kena dimarahi sewaktu di gelanggang ialah Qaudi, Cerol dan Susan dan saya biasanya mendapat "pembalasan" apabila berada di luar gelanggang dan kadangkala oleh kerana terlampau marah dengan sikap saya di gelanggang, sehinggakan sampai di rumah pun marah mereka masih belum reda. Dan peranan kita adalah untuk memujuk mereka semasa di luar gelanggang dan bukannya semasa dalam latihan. Di dalam gelanggang kita cuma memberi nasihat, dan gelanggang bukannya tempat untuk pujuk-memujuk. Saya sendiri seakan tidak sedar mengapa agaknya saya menjadi terlalu bengis seperti "harimau kumbang" apabila terlalu lama dalam pakaian silat ketika mengajar. Yang peliknya, sikap saya akan bertukar seperti sediakala dengan sendirinya apabila latihan tamat.
Walau bagaimanapun, sikap saya ini dapat saya kekalkan sehingga kini hingga dapat melahirkan begitu banyak anak murid dan jurulatih yang cemerlang di dalam dan di luar negara terutamanya selepas saya pulang ke tanah air Malaysia suatu ketika dahulu. Antaranya bekas juara dunia saudara Ahmad Fauzi Othman, Wan Aminuddin Baki, Faizal komando, Ahmad Khusairi Ibrahim, Zakaria, Ruzaidi Abd.Rahman, Hery, Mohd Rafi, Normala, Linda dan antara pesilat Sarawak adalah Ramli Ahmad, Md Zakie Othman, Zaam, Hamidah dan jurulatih Sarawak kini, saudara Hussin Zawawi. Mereka ini terlalu amat membenci saya di dalam gelanggang sehinggakan ada yang kena tangan kerana terlebih ajar. Walau bagaimanapun saya amat senang dan bangga atas kejayaan mereka. Dengan cara dan sikap bengis sayalah mereka berjaya menjadi juara dan kini menjadi jurulatih kebangsaan di kejohanan antarabangsa. Syabas kepada mereka yang telah mengharumkan nama Malaysia.
Saya tidak kisah jika ada antara mereka yang tidak menegur saya sehingga kini kerana kemarahan mereka yang masih belum reda. Sebagai guru yang telah mengajar mereka, saya tetap guru mereka. Ibarat lilin yang membakar dirinya untuk menerangi orang lain, ilmu yang saya curahkan adalah ikhlas. Terpulanglah kepada murid yang menerimanya. Ingatkan apabila dah tua-tua begini kot-kot sikap boleh berubah, tetapi nampaknya bertambah garang pula. Sampaikan hendak turun mengajar pun takut untuk mengenakan pakaian silat. Ada juga jurulatih yang datang ke rumah hendak tambah ilmu; habis kena halau sebab tidak cukup syarat pelebat. Gelanggang besar telah pun dikecilkan; boleh muat sepasang pesilat sahaja sekali berlatih. Hendak cuba datanglah! Tapi ada juga yang cenge sampai penamat pun kena kerat dan kena pancung dengan parang dan ada yang dah kena tembak dengan senapang. Mereka ini masih hidup lagi. Bertanyalah kepada mereka. Saya ini tidak lokek ilmu. Lebih banyak ilmu yang dicurahkan, lebih banyak lagi yang Allah akan tambah. Ibarat kata pendeta silat zaman dahulu "ilmu guru bagaikan mata air yang tidak akan kering." Apa yang penting setiap murid perlu ada guru dan begitu juga sebaliknya. Lebih banyak berguru lebih banyak ilmu, tetapi kenalah pilih guru yang macam mana.
Rombongan pesilat Malaysia
Berita perkembangan Silat Seni Gayong Malaysia telah mula mendapat tempat di Eropah. Saya telah dipanggil untuk menghadiri pelbagai seminar seni bela diri di Eropah, sehinggakan Silat Seni Gayong telah mendapat tempat di majalah sukan seperti majalah KARATE BUSHIDO. Pengarang majalah tersebut terlalu ingin untuk bertemu dengan saya. Beliau ialah Mr. Py Benolliel, yang juga pengarah penganjuran BERCY iaitu pertunjukan Seni Bela Diri Eropah, yang dianjurkan setiap dua tahun sekali dan mendapat liputan meluas daripada media di seluruh dunia. Pada akhir perbincangan dengan beliau, Mr. Benolliel telah mencadangkan agar diperlihatkan keunggulan Silat Malaysia di pertunjukan BERCY pada tahun itu(1990). Peluang ini tentu sahaja tidak akan saya lepaskan. Saya segera berangkat pulang ke tanah air. Oleh kerana masa yang terlalu terhad bersama beliau untuk memperlihatkan sendiri keunikan silat Malaysia, kami berdua telah melawat ke seluruh Malaysia termasuklah di Sabah dan Sarawak. Silat yang diputuskan untuk diketengahkan ialah Silat Seni Gayong Malaysia, yang akan dijadikan sebagai pertunjukan utama. Rombongan Silat Seni Gayong diwakili oleh Cikgu Adiwijaya, Sdr. Ezhar Abas, Sdr. Rasul Ghani, Sdr. Faid Musa dan Rosni Ahmad. Di samping itu, turut serta dalam rombongan kesenian dari Malaysia ialah Silat Wali Songo yang diwakili oleh Pak Alang, Silat Sendeng diwakili oleh Sdr. Jamaluddin A. Jalal dan dua pasang penari tarian ngajat (suku kaum Iban) dari Sarawak serta pegawai pengiring Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia, Sdr. Sulaiman Sarijan dan Setiausaha Agung PESAKA ketika itu Sdr. A. Rahman Hassan.
Rombongan Malaysia ini dibiayai oleh pihak penganjur dan mendapat sokongan penuh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia. Pertunjukan tersebut berlangsung dari 16 Mac hingga 4 April 1990 dan pihak penganjur terpaksa membuat liputan media beberapa hari sebelumnya. Gambar pesilat Malaysia terpapar pada kulit hadapan majalah KARATE BUSHIDO dan pada papan iklan di merata-rata tempat di kota Paris termasuklah di 400 buah stesen Metro bawah tanah di kota Paris. Persatuan Silat Seni Gayong Perancis ketika itu terlalu sibuk melayani segala pertanyaan dan penerimaan murid baru dan tidak ketinggalan juga panggilan ugutan daripada pihak tertentu yang begitu cemburukan perkembangan tersebut.
Oleh kerana pada ketika itu suhu menjadi terlalu dingin disebabkan pertukaran musim di Eropah, maka ramailah ahli rombongan Malaysia yang kurang sihat dan beberapa pasangan pesilat terpaksa dirombak semula dan saya sendiri tiada pilihan lain selain terpaksa mengambil bahagian dalam pertunjukan tersebut. Saya bermain parang panjang bersama bekas murid saya, Sdr. Rosni Ahmad yang lebih mesra dipanggil Pak Ngah. Dah lama juga saya tidak bermain parang panjang bersama beliau. Saya dan beliau membuat latihan tambahan di gelanggang tempat saya mengajar termasuklah di dalam rumah saya. Saya juga dipinjam oleh Silat Wali Songo untuk pertunjukan tenaga dalam (kebatinan) dengan dibakar pada malam pertunjukan tersebut.
Pada malam pertunjukan itu, sambutan yang diterima begitu mengalakkan. Malah pertunjukan tersebut mendapat sanjungan daripada seluruh warga kota Paris dan persatuan seni bela diri di seluruh Eropah. Dan hasil daripada pertunjukan tersebut, persatuan kamilah yang paling sibuk kerana terpaksa melayani pelbagai pertanyaan terutamanya apabila mendapat banyak ahli-ahli baru. Beberapa kelab baru telah ditubuhkan, seperti di Jerman, Tunisia, Denmark, Norway dan Sweden.
Jauh perjalan luas pemandangan ..pengalaman dan sejarah hidup tuan guru sgt menarik....semoga tuan guru diberi kesihatan dan rahmat OlehNya...amin...
BalasPadam